Help Me To Spread Islam Because Of Allah / Bantulah Aku Menyebarkan Agama Islam Kerana Allah

Semua Hakcipta Adalah milik Allah Kerana Ilmu Allah Sangat Luas Dan Tiada Sebarang Larangan Jika Hendak Copy Sebarang Article Dari Sini Atas Tujuan Menyebarkan Islam(ILMU).

Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".( surah Ibrahim : 7 )


Maka Dengan Itu Ucapkan Syukur Alhamdulillah Kerana Allah sentiasa memberikan Petunjuk dan Hidayahnya kepadaku, memberikan Kesihatan kepadaku, memberikan kejayaan hidup kepadaku Dan memberikan Kekayaan harta kepadaku Dan juga Bersyukur sangat sangat atas segala nikmat yang diberikan kepadaku.

Ya Allah Ya Tuhanku, Ya Allah Wahai Tuhan yang Maha Penyayang. Wahai Tuhan yang memiliki Arash yang mulia, Wahai Tuhan yang Maha Mencipta, Wahai Tuhan yang Maha Berkuasa Mengembalikan, Wahai Tuhan yang Maha Berkuasa melakukan apa yang dikehendaki, Kami bermohon kepadaMu dengan cahaya keAgunganMu yang meliputi ArashMu, dengan kekuasaanMu yang Engkau telah tentukan ke atas seluruh makhlukMu, dengan rahmatMu yang meliputi setiap sesuatu. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Wahai Tuhan yang menolong orang-orang yang meminta pertolongan, ku mohon kepadamu Ya Allah sesiapa pun yang membaca blog ini engkau rahmatilah mereka, berilah hidayah kepada mereka, bukalah hati mereka, pimpinlah mereka ke jalan yang benar kearah jalan yang diredhai oleh mu. Amin Ya Allah.

Baca Quran Online - klik link kat bawah

Membaca Quran - Dengan Suara Dan Terjemahannya. -Klik Sini-
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka bersifat yang demikian ialah orang-orang yang berjaya. ( surah Ali Imran : 104 )

Jangan Lupa Untuk Berselawat Keatas Rasulullah S.A.W.

Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul kami (Muhammad s.a.w) yang menerangkan kepada kamu (akan syariat Islam) ketika terputusnya (kedatangan) Rasul-rasul (yang diutus), supaya kamu tidak (berdalih) dengan berkata (pada hari kiamat): Tidak datang kepada kami seorang pun pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran (yang mengingatkan kami). Kerana sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. ( Surah Al Maidah : 19 )

Sunday, September 23, 2007

Mengabaikan dunia atau menolaknya

Tanbihul Ghafilin (Peringatan bagi yang lupa)

Dengan nama Allah s.w.t. yang Maha Agung, Maha Pemurah, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pengampun dan segala Puji-pujian serta Kebesaran yang selayak dengan Kekuasaan-Nya yang mengandungi Keberkatan, Kelazatan, Kemanisan, Ketenangan dan Ketenteraman yang tidaklah tersembunyi kepada orang yang pernah menyebut nama yang suci itu dan pernah mencintai-Nya buat beberapa lama.

Sabda junjungan Agung kita semua umat Islam Baginda Rasulullah s.a.w: "Ballighu anni walau aayah" (Sampaikanlah apa yang kamu dapat daripadaku walau hanya satu ayat)

Abul Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Zaid bin Tsabit r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Siapa yang niatnya keakhirat maka Allah s.w.t. akan menghimpun baginya semuanya dan dijadikan kaya hati dan datang kepadanya dunia merendah diri. Dan siapa yang niatnya dunia maka Allah s.w.t. akan mencerai-beraikan urusannya dan menjadikan kemiskinannya selalu membayang diruang matanya dan tidak akan datang kepadanya dunia kecuali yang ditentukan baginya."

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Al-Aswad bin Qays berkata: "Saya telah mendengar Jundub berkata: "Umar r.a. masuk kepada Nabi Muhammad s.a.w. sedang Nabi Muhammad s.a.w. diatas tikar yang telah berbekas dipinggangnya, maka menangis Umar r.a. melihat keadaan itu, maka Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apakah yang menyebabkan engkau menangis, ya Umar?" Jawab Umar r.a.: "Saya teringat kepada Raja Kaisar dan Kisra dengan segala kemewahan dunianya sedang Rasulullah adalah utusan Allah s.w.t. sehingga berbekas di pinggangmu garis-garis tikar." Maka Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Mereka kaum yang telah diberi kontan kesenangan mereka didunia dan kami kaum yang ditunda kesenangan kami diakhirat."

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Ali r.a. berkata: "Sesungguhnya yang saya khuatirkan atas kamu hanya dua iaitu:

  • Panjang angan-angan dan

  • Menurut hawa nafsu

sebab panjang angan-angan itu melupakan akhirat dan menurut hawa nafsu itu menghalangi (menentang) hak, sedang dunia sudah berjalan membelakangi kami dan akhirat akan tiba kepada kami, dan masing-masing ada mempunyai anak-anak, maka jadilah kamu dari anak-anak akhirat dan jangan menjadi anak-anak dunia, maka sesungguhnya hari ini beramal dan tidak ada hisab sedang kelak hisab tidak ada amal. Perbanyaklah amal sekarang sebab kamu tidak dapat beramal pada hari esok."

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Alhasan Albashri berkata: "Saya mencari khutbah Nabi Muhammad s.a.w. tiap Jumaat selama empat tahun tidak bertemu, tiba-tiba saya mendapat berita bahawa itu ada pada seorang sahabat Anshar dan ketika ditemui ialah Jabir bin Abdillah r.a., maka saya bertanya: "Apakah benar engkau telah mendengar khutbah Nabi Muhammad s.a.w. yang dibaca tiap Jumaat?" Jawabnya: "Ya, saya telah mendengar Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Hai orang-orang, sesungguhnya untuk kamu telah ada petunjuk-petunjuk maka berhentilah pada petunjuk-petunjuk jalan itu, dan kamu juga mempunyai batas maka berhentilah (ikutilah) batas-batas yang telah ditentukan bagimu itu. Sesungguhnya seorang hamba yang mukmin berada diantara dua ketakutan, antara ajal masa yang lalu, ia tidak mengetahui bagaimana Allah s.w.t. akan berbuat kepadanya, dan masa yang akan datang juga tidak mengetahui apa yang terjadi pada dirinya. Kerana itu tiap orang harus berbekal untuk kepentingan dirinya sendiri dan

  • masa hidupnya untuk matinya

  • masa mudanya untuk masa tuanya

  • dunianya untuk akhiratnya

Maka dunia ini dijadikan untuk kamu dan kamu jadikan untuk akhirat. Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesudah mati tidak ada jalan untuk taubat dan sesudah dunia tidak ada tempat kecuali syurga atau neraka. Saya ucapkan kata-kata ini dan aku mohon ampaun kepada Allah s.w.t. untuk diriku dan untukmu."

Sahl bin Abdillah Attustari biasa membelanjakan kekayaannya dalam segala jalan yang menuju taat kepada Allah s.w.t., lalu ibu dan sanak saudaranya yang menyampaikan hal itu kepada Abdullah bin Almubarak, mereka berkata: "Bahawa orang itu jika sedekah tidak kira-kira kerana itu kami khuatir kalau ia menjadi miskin." Maka Abdullah bin Almubarak menyampaikan keluhan ibu dan saudara-maranya itu kepada Sahl bin Abdullah Attustari. Jawab Sahl: "Ya Aba Abdirrahman, bagaimana pendapatmu bila ada orang kota telah membeli tanah kebun didesa dan ia akan pindah kedesa itu, apakah harus meninggalkan apa-apa dikota, padahal ia tidak akan kembali lagi kekota itu?" Abdullah bin Almubarak berkata: "Sahl telah mengalahkan kamu dalam keluhanmu itu, iaitu siapa yang akan pidah ketempat lain tidak seharusnya ia meninggalkan apa-apa ditempat yang akan ditinggalkan itu, demikian pula orang yang akan pindah dari dunia keakhirat, mengapakah harus meninggalkan apa-apa didunia ini."

Abul Laits berkata: "Siapa yang sempurna akal, maka ia rela dengan sederhana didunia, dan tidak sibuk memperbanyak dan sibuk beramal untuk akhirat sebab akhirat itulah tempatnya nikmat, kekal sedang dunia akan rosak, tipuan dan fitnah."

Juwaibir meriwayatkan dari Adhdhahhak berkata: "Ketika Allah s.w.t. telah menurunkan Nabi Adam a.s. dan Hawwa kebumi, lalu dapat merasakan bau busuk dan kehilangan bau syurga, pengsanlah keduanya selama empat puluh hari kerana sangat busuknya dunia ini."

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Sungguh hairan ajaib bagi seorang yang percaya kepada tempat yang kekal abadi kemudian ia masih sibuk dengan tempat tipuan dan sementara."

Muhammad bin Almunkadir dari Jabir r.a. berkata: "Saya hadir dimajlis Nabi Muhammad s.a.w. tiba-tiba datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. seorang yang bagus muka dan rambutnya, berpakaian putih, lalu berkata: "Assalamu alaikum, ya Rasulullah." Dijawab Nabi Muhammad s.a.w. "Wa alaikum salam warahmatullah." Lalu ditanya: "Ya Rasulullah, apakah dunia ini?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w. "Bagaikan impian orang tiudr, sedang penduduknya bakal dibalas dan disiksa." Lalu ia bertanya: "Dan apakah akhirat?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w. "Kekal, sebahagian disyurga dan sebahagian dineraka." Lalu ditanya: "Apakah syurga itu?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w. "Gantinya dunia, bagi orang yang sanggup meninggalkannya mendapat kesenangannya untuk selamanya." Lalu ditanya: "Dan apakah Jahannam itu?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w. "Gantinya dunia bagi yang cinta kepadanya, tidak akan pisah lepas dari Jahannam untuk selamanya." Lalu ditanya: "Maka siapakah yang sebaik-baik ummat ini?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w. "Yang berbuat taat ketika didunia." Lalu ditanya: "Bagaimana didalamnya?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w. "Bersungguh seperti orang yang mengejar gafilah." Lalu ditanya: "Berapa lama tinggal didalam dunia?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w. "Seperti lamanya orang yang tertinggal dari gafilah-gafilah." Lalu ditanya: "Berapa lamakah antara dunia dan akhirat?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w. "Sekelip mata" Maka pergilah orang itu dan tidak kelihatan, maka Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Itu Jibril datang untuk menzuhudkan kamu didunia dan menggemarkan kamu diakhirat."

Nabi Ibrahim a.s. ketika ditanya: "Mengapa Allah s.w.t. menjadikan engkau khalilullah?" Jawabnya: Kerana tiga sebab iaitu:

  • Tiada aku disuruh memilih dua macam melainkan saya pilih yang untuk Allah s.w.t. dari yang lain-lainnya

  • Saya tidak pernah risau hati terhadap apa yang dijamin oleh Allah s.w.t. dalam urusan rezekiku

  • Tidak pernah makan siang atau malam melainkan bersama tetamu

Seorang cendikiawan berkata: "Kehidupan hati itu dengan empat ilmu iaitu:

  • Ilmu

  • Ridho

  • Qana'ah

  • Zuhud

Maka ilmu iaitu yang menimbulkan ridho dan ridho menyampaikan kepada qana'ah (teriman) dan qana'ah itu menyampaikan kepada zuhud bererti meremehkan dunia (tidak rakus kepada dunia). Dan zuhud ada tiga tingkat iaitu:

  • Mengenal dunia dan meninggalkannya

  • Ibadat kepada Allah s.w.t. dengan adab

  • Rindu kepada akhirat dan berusaha mencapainya

Yahya bin Mu'adz Arrazi berkata: "Hikmat itu turun dari langit masuk kedalam semua hati kecuali hati yang ada empat macam iaitu:

  • Yang condong kepada dunia

  • Risau untuk hari esok

  • Hasud kepada saudara

  • Ingin kepada pangkat kedudukan

Yahya juga berkata: "Seorang yang sempurna akal iaitu yang berbuat tiga perkara iaitu:

  • Meninggalkan dunia sebelum ditinggalkannya

  • Membangun kubur sebelum dimasukkannya

  • Mengerjakan apa yang diridhoi Allah s.w.t. sebelum menghadap kepadaNya

Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: "Siapa yang menghimpunkan enam macam maka bererti telah benar-benar berusaha untuk mendapatkan syurga dan lari dari api neraka iaitu:

  • Mengenal Allah s.w.t. lalu mentaatiNya dan mengenal syaitan laknatullah lalu menentangnya

  • Mengenal hak lalu mengikutinya dan mengenal bathil lalu menghindarinya

  • Mengenal dunia lalu mengabaikannya dan mengenal akhirat lalu berusaha untuk mencapainya

Ja'far Assadiq dari Muhammad Albaaqir dari Ali Zainul Abidin dari Alhusain bin Ali r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Hai Ali, empat macam tanda celaka iaitu:

  • Kering air mata

  • Keras hati

  • Cinta dunia

  • Jauh angan-angan

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Andaikan dunia ini disisi Allah s.w.t. menyamai nilai satu sayap nyamuk maka tidak akan diberikan kepada orang kafir walau seteguk air."

Syahr bin Hausyab dari Abdurrahman bin Usman berkata: "Pada suatu malam Nabi Muhammad s.a.w. sembahyang subuh didekat tempat pembuangan kotoran, maka melihat ulat bergerak dalam kotoran, maka Nabi Muhammad s.a.w. menghentikan untunya menantikan orang-orang, lalu bertanya kepada orang-orang: "Apakah kamu mengetahui bahawa orang-orang ditempat ini jijik terhadap ulat ini?" Jawab mereka: "Benar, ya Rasulullah." Maka Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Demi Allah yang jiwa Muhammad ada ditanganNya, sesungguhnya dunia ini lebih rendah (hina) disisi Allah s.w.t. melebihi dari hinanya ulat terhadap orang-orang yang mempunyai tempat ini."

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Dunia sebagai penjara bagi orang mukmin dan kubur bagaikan bentengnya dan syurga tempat tinggalnya. Dan dunia ini sebagai syurga bagi orang kafir sedang kubur sebagai penjaranya dan neraka tempat tinggalnya."

Abul Laits berkata: "Erti sabda Nabi Muhammad s.a.w. ini ialah: "Seorang mukmin meskipun adakalanya mewah dan nikmat, tetapi jika dibandingkan dengan nikmat dan kemewahan yang disediakan untuknya disyurga, maka seolah-olah ia berada didalam penjara, sebab seorang jika mati dan diperlihatkan kepadanya syurga dan kemuliaan yang ada didalamnya, ia sedar bahawa selama didunia seolah-olah dalam penjara. Sedang seorang kafir jika mati dan diperlihatkan kepadanya hukuman-hukuman dalam neraka, maka ia merasa bahawa ia tadi dalam syurga. Kerana itu seorang yang berakal tidak akan merasa gembira dalam penjara dan tidak akan mencari kesenangan dalam penjara. Maka seorang yang berakal harus memperhatikan apa yang telah dijelaskan Allah s.w.t. mengenai dunia dalam ayat-ayat Al-Quran, sebab dalam ayat Al-Quran dan sabda Nabi Muhammad s.a.w. cukup perumpamaan yang jelas supaya orang mukmin jangan tertipu oleh dunia."

"Innama matsalul hayatid dunia, kama'in anzalanaahu minassama'i fakh talatha bihi nabaatul ardhi mimmaa ya'kulunnasu wal an'am hatta idza akhdzalatil ardhu zukhrufaha wazzayanat wa dhanna ahluha annahum qaadiruuna alaiha ataaha amrua laila au nahaa ra faja ainaaha hashieda ka'anlam taghna bil amsi, kadzalika nufasshilul ayaati liqaumin yatafakkarun." (Surah Yunus ayat 24)

(Yang bermaksud)"Sesungguhnya perumpamaan kerosakan dunia ini bagaikan air yang Kami turunkan dari langit maka meresap kedalam tanah dan menumbuhkan makanan orang-orang dan binatang-binatang, sehingga apabila bumi ini telah berhias dengan segala hasilnya dan indah dan pemiliknya telah mengira ia sangat berkuasa atasnya, tiba-tiba datang siksa Allah diwaktu malam atau siang hari, maka jadilah semua itu terketam habis, seakan-akan tidak ada apa-apa sejak kelmarinnya. Demikianlah contoh dunia ini. Kami jelaskan bagi orang-orang yang suka berfikir dan memperhatikan."

Nabi Muhammad s.a.w. didatangi seorang dari Syam, maka ditanya oleh Nabi Muhammad s.a.w. tentang luas tanah mereka dan berbagai kenikmatan yang mereka rasakan, lalu ditanya oleh Nabi Muhammad s.a.w. "Lalu kamu berbuat apakah?" Jawabnya: "Kami membuat berbagai macam makanan untuk kami makan." Ditanya: "Kemudian jadi apa?" Jawabnya: "Sebagaimana yang telah engkau ketahui, ya Rasulullah." (Yakni kencing dan kotoran) Maka Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Maka demikianlah perumpamaan dan contoh dunia ini."

Yahya bin Mu'adz Arrazi berkata: "Dunia ini bagaikan ladang Tuhan Rabbul a'lamin dan manusia sebagai tanamannya sedang maut itu sebagai cangkulnya. Dan Malakulmaut itu sebagai pengetamnya dan kubur sebagai lombongnya dan kiamat sebagai lesungnya dan syurga atau neraka temapt pemuasnya, sebahagian syurga dan sebahagian dalam neraka Sa'ir."

Luqman Alhakiem berkata kepada puteranya: "Hai anak, sesungguhnya dunia ini adalah lautan yang sangat dalam dan telah tenggelam didalamnya kebanyakkan manusia, kerana itu jadilah perahu didunia ini taqwa kepada Allah s.w.t."

Kata pujangga: "Sesungguhnya ada hamba-hamba Allah yang cerdas cendikia (cerdik pandai) telah menceraikan dunia dan takut dari fitnahnya (tipu dayanya). Mereka memperhatikan benar-benar segala akibatnya dan ketika telah mengerti bahawa dunia ini bukan tempat hidup yang abadi, maka mereka menjadikan dunia ini bagaikan lautan dan menggunakan amal soleh sebagai bahteranya. Maka amal soleh itulah yang menjadi barang dagangan dan kerajinan beramal sebagai keuntungannya dan hari-hari sebagai gelombangnya dan tawakkal sebagai naungannya, dan kitab Allah s.w.t. penunjuknya dan menahan nafsu sebagai tali ikatnya dan maut itu ujungnya dan kiamat pasarannya dan Allah s.w.t. pemiliknya."

Alfudhail bin Iyaadh berkata: "Pada hari kiamat kelak akan tiba dunia berlagak dengan keindahannya, lalu berkata: "Ya Tuhan, jadikanlah aku rumah untuk sebaik-baik hambaMu." Jawab Allah s.w.t.: "Aku tidak rela kamu menjadi rumah mereka, jadilah kamu sebagai debu yang berhamburan." Maka seketika itu menjadi debu yang berhamburan."

Ibn Abbas r.a. berkata: "Pada hari kiamat kelak akan dihadapkan dunia ini berupa wanita tua yang kembung perutnya, tampak gigi siungnya, buruk rupanya, tiada seorang yang melihatnya melainkan membencinya, maka ia melihat orang-orang lalu orang-orang itu ditanya: "Apakah kamu kenal pada ini?" Jawab mereka: "Naudzu billah, jangan sampai kenal padanya." Lalu diberitahu bahawa itulah dunia yang dahulu kamu berebut, berbangga dan berperang kerananya." Dilain raiwayat: Kemudian diperintahkan supaya dilemparkan kedalam neraka, lalu ia bertanya: "Dimanakah pengikutku dan sahabat-sahabatku?" Maka ikut semuanya.

Abul Laits berkata: "Sebenarnya dunia ini tidak berdosa dan tidak ada siksa baginya, tetapi sengaja dilempar kedalam neraka untuk menunjukkan kehinaannya disisi Allah s.w.t., sebagaimana berhala-berhala yang dimasukkan kedalam neraka, sebagaimana firman Allah s.w.t. (Yang berbunyi): "Innakum wama ta'buduna min dunillahi hashabu jahannam antum laha wa ridun." (Yang bermaksud): "Sesungguhnya kamu dan semua yang kamu sembah selain Allah itu akan menjadi batu bara neraka jahannam, kamu pasti akan masuk kedalamnya." (Surah Al-Anbiya ayat 98) Maka seharusnya seorang mukmin beramal untuk akhirat dan tidak melulu sibuk dunia kecuali apa yang menjadi kepentingan yang lazim dan utama tanpa menggantungkan hati dan fikiran padanya."

Nabi Isa bin Maryam a.s berkata: "Sungguh ajaib keadaanmu itu, kamu giat bekerja untuk mendapat dunia yang pasti akan tiba padamu, tetapi tidak pasti giat beramal untuk akhirat, padahal akhirat itu tidak dapat dicapai tanpa amal."

Abu Ubaidah Al-asadi berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Siapa yang meresap dalam hatinya cinta dunia maka terikat hatinya dengan tiga iaitu:

  • Kesibukan yang tidak akan terlepas kesukarannya

  • Angan-angan yang tidak ada hujung puncaknya

  • Kerakusan yang tidak dapatmencapai kekayaan atau kecukupannya

Sedang dunia dan akhirat sama-sama kejar mengejar, maka siapa yang mengejar akhirat dikejar oleh dunia sehingga menerima cukup daripadanya rezekinya dan siapa yang mengejar dunia dikejar akhirat sehingga tiba matinya yang mencekiknya dengan tiba-tiba dan mendadak."

Ibrahim bin Yusuf dari Kinanah berkata: "Abu Hazim berkata: "Saya dapatkan dunia ini dua macam iaitu:

  • Sesuatu yang untukku tidak akan terlepas daripadaku

  • Sesuatu yang untuk orang lain maka tidak akan dapat saya kejar dan

  • Allah s.w.t telah menolak lain orang hakku sebagaimana menolak hak lain orang daripadaku

Maka didalam bahagian yang mana saya harus menghabiskan umurku? Juga saya dapatkan apa yang telah diberikan kepadaku dari dunia ini dua macam iaitu:

  • Yang satu akan terlepas daripadaku sebelum ajalku, maka saya tidak berdaya untuk mempertahankannya dan yang satu lagi

  • akan tetap ada padaku sehingga matiku sehingga saya tinggalkan kepada orang lain.

Maka didalam yang mana saya harus melanggar Tuhan untuk mendapatkannya?"

Al-A'masy dari Sufyan dari guru-gurunya berkata: "Sa'ad bin Abi Waqqash r.a. masuk ketempat Salman Alfarisi sedang sakit, maka menangislah Salman. Ditanya oleh Sa'ad: "Mengapa engkau menangis, hai Abu Abdillah? Rasulullah s.a.w. ketika meninggal ridho kepadamu." Jawabnya: "Saya tidak menangis kerana takut mati atau kerana rakus kepada dunia, tetapi Rasulullah s.a.w. telah berpesan kepada kami: "Hendaklah membawa bekal salah satu kamu dari dunia ini seperti bekal orang berpergian. Sedang dikelilingku ini macam-macam, padahal yang ada hanya bejana, ember, panci dan tempat berwuduk." Sa'ad berkata: "Hai Abu Abdillah, berpesanlah kepada kami untuk kami pergunakan sepeninggalanmu." Berkata Salman: "Hai Sa'ad, berdzikirlah (ingatlah) kepada Allah s.w.t. ketika akan mengerjakan sesuatu dan ketika menghukum dan ketika melaksanakan apa yang telah engkau putuskan dengan sumpahmu."

Juwaibir dari Adhdhahhaak berkata Nabi Muhammad s.a.w. ditanya: "Ya, Rasulullah, siapakah yang amat zahid?" Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Siapa yang tidak lupa kubur dan kerosakan dan meninggalkan kelebihan dari perhiasan dunia, dan mengutamakan yang kekal daripada yang sementara dan rosak, dan tidak menghitung-hitung harinya dan menganggap dirinya dari golongan orang yang mati."

Seorang cendikiawan berkata: "Kami mencari empat macam tetapi keliru jalan iaitu:

  • Kami kira kekayaan itu dalam banyaknya harta, tiba-tiba dalam qana'ah (teriman)

  • Kami kira istirehat itu dalam banyak tiba-tiba dalam sedikit (ertinya bertambah banyak bertambah sibuk dan tidak dapat beristirehat)

  • Kami kira kehormatan itu dalam bentuk lahir tiba-tiba dalam taqwa

  • Kami kira nikmat itu dalam makan minum tiba-tiba dalam tertutupnya aib dan dosa dan Islam (ertinya jika Allah s.w.t. menutupi kesalahan dosa kita, maka itulah nikmatnya)

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Siapa yang pada pagi harinya menjadikan dunia ini kepentingannya yang utama maka Allah s.w.t. akan melazimkan dalam hatinya tiga macam iaitu:

  • Kerisauan yang tidak terputus-putus untuk selamanya

  • Kesibukan yang tidak ada istirehatnya untuk selamanya

  • Rasa kefakiran yang tidak ada ujungnya sama sekali untuk selamanya

Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata: "Tiada seorangpun pada tiap hari melainkan ia sebagai tamu dan hartanya sebagai pinjaman, tamu harus segera berangkat meninggalkan tempat sedang pinjaman harus segera dikembalikan."

Alfudhail bin Iyaadh berkata: "Kejahatan itu semua dikumpulkan dalam sebuah rumah sedang kuncinya ialah cinta kepada dunia dan kebaikan itu juga dikumpulkan dalam rumah dan kuncinya ialah zuhud (tidak tamak rakus) pada dunia."

Tsabit dari Anas bin Malik r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Allah s.w.t. telah berfirman (Yang berbunyi): "Yyafrahu abdiyal mu'min idza bashathtu lahu syai'a minad dunia, wa dzalika ab'adu lahu minni, wayahzanu idzaqartartu alaihid dunia wa dzalika aqrabu lahu minni." (Yang bermaksud): "HambaKu yang mukmin merasa gembira jika Aku luaskan sedikit daripada dunia, padahal yang demikian itu bererti jauh daripadaKu dan susah jika Aku seretkan padanya dunia, padahal yang demikian itu lebih mendekatkan ia kepadaKu."

Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. membacakan ayat (Yang berbunyi): "Ayahsabuuna annamaa munidduhum bihi maalin wabaniin. Nusaari'u lahum fil khairaati, bal laa yasy'uruun." (Yang berbunyi): "Apakah mereka mengira bahawa apa yang Kami berikan berupa harta dan anak-anak itu. Kami menyegerakan untuk mereka semua kebaikan tetapi mereka tidak merasa (tidak mengetahui)." (Surah Al-mukminun ayat 55-56) Tidak merasa atau tidak mengetahui bahawa itu ujian bagi mereka bagaimana mereka mempergunakan pemberian Allah s.w.t. itu.

Anas bin Malik berkata: "Pada suatu hari Nabi Muhammad s.a.w. keluar dan memegang tangan Abu Dzar, lalu berkata: "Hai Abu Dzar, sesungguhnya dihadapanmu ada bukit penghalang yang sukar didaki, tidak dapat mendaki kecuali orang-orang yang ringan bawaannya." Abu Dzar bertanya: "Ya Rasulullah, saya ini termasuk yang ringan atau yang berat?" Nabi Muhammad s.a.w. bertanya: "Apakah engkau mempunyai makan untuk hari ini?" Jawabnya: "Ya." Nabi Muhammad s.a.w. bertanya lagi: "Apakah mempunyai makan untuk besok pagi?" Jawabnya: "Ya." Nabi Muhammad s.a.w. bertanya lagi: "Apakah mempunyai makan untuk lusa?" Jawab Abu Dzar: "Tidak." Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Andaikan engkau mempunyai makanan untuk lusa (untuk tiga hari) nescaya engkau termasuk orang-orang yang berat."